Rakyat Malaysia kaya dengan warisan tradisi bangsanya yang masih wujud; dipelihara, dipulihara bahkan diamalkan sebagai suatu khazanah yang terus mekar dan segar. Permainan Tradisi ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu permainan anjung dan permainan laman.
Permainan Anjung merupakan permainan yang mudah dan sering dimainkan di anjung-anjung rumah sahaja dan memerlukan pergerakan yang terbatas. Contohnya; batu seremban, congkak, dam haji dan sebagainya. Manakala permainan laman pula terdiri daripada jenis permainan yang memerlukan kawasan yang luas, pergerakan yang lincah dan aktif seperti galah panjang, sepak raga, kabbadi dan sebagainya.
Sehubungan itu, permainan tradisi ini dilihat dapat merealisasikan gagasan 1Malaysia yang berteraskan bentuk seni budaya dan mempunyai “titik sentuhannya” yang tersendiri seperti dapat merapatkan hubungan antara masyarakat. Di samping itu, permainan tradisi ini juga dapat mewujudkan masyarakat yang dapat mempertahankan dan mengamalkan budaya tempatan.
Objek Warisan : Galah Panjang
Permainan tradisional yang dimainkan di luar rumah. Terdapat dengan dua kumpulan yang terdiri daripada kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang daripada empat orang.
Objek Warisan : Batu Seremban
Batu Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih.
Objek Warisan : Dam Haji
Permainan ini melibatkan dua orang pemain sahaja bagi satu pihak pasukan. Peralatannya ialah papan dam berpetak berlainan warna secara berselang dan dua puluh empat biji buah dam atau tir (yakni dua belas biji untuk setiap permainan) dengan warna yang berbeza.
Objek Warisan : Sepak Raga
Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi.
Objek Warisan : Ketinting
Permainan laman ini sering dimainkan oleh kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan yang melompat dari satu kotak ke kotak-kotak yang lain (terdiri daripada sembilan kotak). Ada juga yang menggelarkannya sebagai “tip-tap toe”. Permainan ini sering dimainkan antara dua atau lebih dalam dua kumpulan yang berlawan.
Objek Warisan : Congkak
Congkak adalah sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji saga, biji salak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, dan tersebar meluas di ‘Dunia Melayu’.
Objek Warisan : Gasing
Permainan gasing popular di seluruh Malaysia. Permainan gasing terdapat di negara ini. Sejak zaman berzaman, dimainkan sebagai mengisi masa lapang, terutama di kalangan masyarakat agraria sementara menanti musim panas. Kemudian menjadi acara pertandingan di antara kumpulan, kampung, mukim atau daerah.
Objek Warisan : Wau Tradisi Malaysia
Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, ia dikenali juga sebagai layang-layang di negeri-negeri sebelah pantai Barat Semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Seawal kurun ke-15, wau telah dimainkan oleh orang Melayu sebagaimana tercatat dalam Sejarah Melayu tentang anak raja dan penduduk Melaka bermain layang-layang.